PERKEMBANGAN SEJARAH SJK (C) MIN NAM
Dengan
lokasinya yang terletak di Barat Laut Pulau Langkawi, SJK (C) Min Nam merupakan
sebuah sekolah rendah yang telah mengharungi pelbagai dugaan dalam sejarahnya
yang sekian lama. Bermula pada tahun 1924, masyarakat setempat yang menyedari
kepentingan untuk mempunyai sebuah sekolah untuk mendidik anak bangsanya telah
sebulat suara merancang dan berusaha sehingga tertubuhnya sekolah terawal pada
tahun 1926.
Sekolah
terawal ini merupakan sebuah rumah atap yang terletak di Pekan Lama, Padang Matsirat.
Bangunan ini disewa bersama oleh masyarakat Cina. Sejajar dengan itu seorang
guru, Cikgu Wei Siau Sing telah diupah. Beliau telah memikul tanggungjawab
mendidik seramai lebih 20 orang murid. Status sekolah pada ketika itu ialah
sekolah swasta. Nama sekolah yang digunakan hingga sekarang juga ilham Cikgu
Wei. Pengerusi Lembaga Pengurus yang pertama ialah En. Zhuang Da Shu. Pihak
lembaga pengurus bukan sekadar mengurus dan berperanan sebagai penasihat, malah
memainkan peranan mengutip yuran bulanan untuk membiayai gaji guru dan
perbelanjaan sekolah.
Malang tidak
berbau, bangunan sekolah ini telah hangus dijilat api pada tahun 1948. Pihak
lembaga sekolah terpaksa menyewa sebuah rumah lain di Pekan Baru, Padang
Matsirat untuk meneruskan tugas mulia ini. Guru ketika itu ialah Cikgu Chen
Tian Chong, diikuti dengan Cikgu Chew Jiang San. Sekolah ini juga telah berjaya
mendapatkan pengiktirafan daripada kerajaan Taiwan, namun status di Tanah
Melayu masih kekal sebagai sekolah swasta.
Berikutan
daripada rumah yang disewa tidak dapat menampung bilangan murid yang semakin
bertambah, satu cadangan membina bangunan sekolah telah diusulkan. Kutipan
derma dijalankan dengan kaedah berikut, setiap pembelian sebakul ikan atau
sebungkus isi kelapa akan didermakan seringgit kepada pihak sekolah. Kutipan
derma ini telah dipertanggungjawabkan kepada Syarikat Hai Huat. Memandangkan
pertempatan masyarakat Cina banyak bertumpu di sekitar Kuala Teriang sebagai
pelaut, maka sebuah bangunan yang mempunyai 2 bilik darjah telah dibina di
Kuala Teriang pada tahun 1967. Ketika itu sekolah telah mempunyai Guru Besar.
Pada masa yang sama, sekolah ini telah mendapat bantuan modal daripada kerajaan
tempatan. Oleh kerana bantuan modal daripada kerajaan tempatan masih tidak
mencukupi, kutipan yuran diteruskan. Pengerusi Lembaga Pengurus ketika itu
ialah Encik Wang Jing Liang diikuti dengan Encik Kuang Hua Sin (1927-1975),
Encik Wang Jing Qing (1975-1980), Encik Zhuang Loo Yun (1980-1994) dan Encik
Law Chang Loong (1994-2000), Puan Lao Poh Ying (2001-2002), Encik Tan Bao Yu
(2002-2003), dan Encik Lim Hong Soon (2004).
Pada tahun
1967, dengan kesedaran tentang kelemahan bangunan sekolah yang dibina atas
tapak persendirian yang disewa, maka satu perbincangan dengan tuan tanah Encik
Khor Tian Song telah diadakan. Berkat murah hati Encik Khor tapak sekolah ini
telah dibeli dengan harga yang murah iaitu RM 1900. Kerajaan telah
memperuntukan sebahagian besar perbelanjaan membina bangunan baru sekolah ini.
Menteri Pendidikan pada ketika itu ialah YB Dato’ Johari. Beliau telah benyak
memberi bantuan dalam hal ini.
Pada
tahun 1968, sekolah baru mulai digunakan. Ramai Guru Besar yang telah
mentadbir sekolah ini, antaranya ialah En. Wang Nu tan, En. Chen Xin Yao, En.
Wang Zheng Fu, En. Liang Sau Hua, En. Ch’ng Beng Yik , En. Lai Heng Hwa, Cik Ng
Dee Ing, En. Lee Chien Sang, En. Teoh Ah Choo, En. Soo Oh Guan, En. Chiah Siew
Fei, Pn. Tee Bee Ee, En. Lim Kuan Ang, En. Lim Ah Tang dan En Ong Bak Khim
Memandangkan
ramai guru berasal dari luar Pulau Langkawi dan tidak mempunyai tempat
penginapan, Guru Besar Ch’ng Beng Yik telah mengusulkan satu cadangan
mengadakan larian amal mengelilingi Pulau Langkawi mengutip derma bagi membina
quartes guru. Quartes guru yang terdiri daripada 2 pintu rumah telah siap
dibina pada tahun 1994.
Pada tahun
1995, sebuah bilik Sains dan bilik setor telah didirikan atas usaha dan bantuan
kerajaan.
Pada tahun
1998, memandangkan bangunan lama tidak mencukupi untuk menampung penambahan
bilangan murid, maka pihak lembaga sekolah mencadangkan memperluaskan bangunan
sekolah. Kutipan derma dijalankan bagi membina bangunan baru yang mempunyai 3
bilik darjah yang standard dan sebuah pentas. Namun, projek ini tergendala
selama 1 tahun kerana modal yang tidak mencukupi. Akhirnya, atas bantuan YB
Dato’ Abu Bakar Taib, kerajaan memberi peruntukan sebanyak RM 30 ribu, dan
projek ini dapat diteruskan dan siap pada 18 Januari 2000.
Dalam
pada itu, bantuan yang dihulurkan oleh masyarakat Langkawi juga besar ertinya
buat sekolah ini. Keprihatinan JPN Kedah dan PPD Langkawi dengan meluluskan
bantuan modal untuk mengecat bangunan dan sebagainya juga tidak dapat
dilupakan.